Ahmad Tajuddin Bin Idris al-Manhaji Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kenaikan harga minyak dan sememang sebagai seorang rakyat sekiranya boleh kita tidak mahu terjadi perihal kenaikan ini. Namun hakikatnya hal kenaikan harga minyak telah pun berlaku. Suka atau tidak inilah takdir yang telah Allah tetapkan ke atas kita semua terutama kaum muslimin dalam Negara ini. Maka sebagai seorang muslim wajib bagi kita bersabar dengan apa segala bentuk ujian dan musibah yang Allah berikan ke atas kita. Sesungguhnya pahala sabar yang utama dan besar itu adalah pada kali pertama sesuatu berita buruk itu diketahui. Kata Nabi “Sesungguhnya sabar itu pada kejutan yang pertama”. ( HR Abu Daud, dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani hadis no. 3124) Sebagaimana firman Allah SWT, “ Dan pasti Kami menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan, dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” Surah Al-Baqarah, ayat 155) Janganlah kita kufur kepada Allah dalam menghadapi ujian dan musibah bermula dengan kemarahan, makian, menghina atau perli terhadap orang lain kerana kenaikan ini. Jika itu semua menjadi perkataan yang pertama yang keluar dari mulut dan lisan kita, sudah tentu maksud sabar yang Allah dan Nabi saw ajarkan pada kita itu telah diingkari. UCAPAN YANG NABI AJAR Sebelum kita mengkritik mahupun memberikan pandangan terhadap kenaikan harga minyak adalah lebih baik kita saksikan sikap Nabi saw apabila berhadapan dengan perkara yang baginda sukai dan tidak sukai. Semuanya bermula dengan pujian kepada Allah. Dari Aisyah, kebiasaan Rasulullah jika menyaksikan hal-hal yang beliau sukai baginda mengucapkan“Alhamdulillah alladzi bi nikmatihi tatimmus solihat”. Sedangkan jika baginda menyaksikan hal-hal yang tidak menyenangkan beliau mengucapkan “Alhamdulillah ‘ala kulli hal”.(HR Ibnu Majah no 3803 dinilai hasan oleh Syeikh al Albani]. Jadi kita ucapkanlah “Alhamdulillah ala kulli hal ”. Kerana ini adalah ucapan yang Nabi ajarkan apabila kita berhadapan dengan perkara yang tidak kita sukai. Bukan kemarahan, bukan perlian, bukan makian apatah lagi carutan. Tetapi perlu juga juga kita mengucapkan “Alhamdulillah allazi binakmatihi tatimmus solihat”. Kerana pihak kerajaan masih mengekalkan lagi subsidi 63 sen setiap seliter minyak. Bukankah ini juga satu berita baik yang perlu kita syukuri kepada Allah. Perlu diingat, dikhuatiri sekiranya kita kufur dengan nikmat ini juga, takut-takut nanti Allah tambahkan lagi ujian kepada kita semua. Bahkan telah berlaku juga ujian yang sama di zaman Nabi, di mana kisah yang dikhabarkan dari Anas bin Malik. Kata Anas “Harga barang menjadi mahal pada zaman Nabi Saw, lalu mereka (para Sahabat) berkata “ Wahai Rasulullah, harga telah menjadi mahal maka tetapkanlah harga untuk kami” (HR Abu Daud) TURUN NAIK HARGA DAN REZEKI DARI KETETAPAN ALLAH Peristiwa ini berlaku apabila harga barang di pasar di Madinah naik, maka para sahabat bertemu Nabi meminta supaya Baginda menetapkan harga supaya orang-orang miskin dapat membeli barang dengan harga yang mereka mampu. Lalu apa jawab Rasulullah? Baginda berkata: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga itu, Dialah Allah yang melapangkan, Dialah Allah yang menyempitkan, serta Dialah Allah yang memberikan rezeki. Dan sesungguhnya aku berharap agar aku bertemu Allah SWT dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku di dalam kezaliman terhadap darah mahupun kezaliman terhadap harta.” (Hadis Sahih Riwayat Abu Daud) Jelas kepada kita bahawa Allah swt yang menetapkan sesuatu harga itu, ada pun pemerintah atau mereka yang diberikan kuasa dalam menentukan naik turun harga itu adalah terjemahan dari ketetapan yang hendak Allah tetapkan kepada hambaNya. Di samping Allah tetapkan ujian dengan kenaikan sesuatu harga itu, Allah swt juga menetapkan rezeki setiap hambaNya. Kenaikan harga minyak mahupun apa sekalipun harga barang tidak mengubah rezeki seseorang. Nabi menyatakan bahawa Allah-lah yang melapangkan rezeki seseorang hamba dan Dia juga yang menyempitkan rezeki mana-mana hamba yang dikehendakiNya. Ini selari dengan firman Allah SWT, “Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.” (Surah Al-Ra’d,ayat 26) Tak perlu ragu kerana rezeki setiap manusia pasti dicukupkan dan tidak dikurangkan sedikit pun. Kenaikan harga sama sekali tidak mempengaruhi rezeki yang ditetapkan. Kata Nabi SAW, “Wahai manusia, sesungguhnya salah seorang kamu tidak akan mati sehingga dia mendapat seluruh rezekinya secara sempurna. Maka janganlah kamu tidak sabar dalam mendapatkan rezeki. Bertakwalah kepada Allah, wahai manusia! Carilah rezeki secara baik, ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.” (Hadis Sahih. Riwayat Al-Hakim) Buktinya juga, telah berlalu sebelum ini kenaikan demi kenaikan harga minyak bermula dari harga 90 sen seliter. Apa yang dapat kita saksikan tetap sahaja Allah memberikan rezekinya kepada kita semua walaupun harga saban tahun dan zaman kian berubah. Tetap sahaja kita memiliki rumah dan kereta. Dapat membesarkan anak-anak tanpa sedikit pun beras di rumah kita berkurang. Pun begitu hanya sedikit sahaja dikalangan hambanya yang akan bersyukur. DOSA DAN KEZALIMAN SENDIRI Sebenarnya segala ujian yang Allah berikan kepada hambanya adalah disebabkan dosa atau kezaliman kita sendiri. Perhatikan diri kita sendiri bukan orang lain apakah dosa-dosa dan kezaliman yang telah kita lakukan. Seterusnya kembali bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahNYa dan meninggalkan laranganNya. Demikian juga untuk kita keluar dari kesempitan hidup hendaklah memperbanyakkan istighfar dan bertaubat memohon keampunan kepada Allah. Nescaya Allah akan mengangkat kesusahan, memudahkan segala urusan dan memberikan jalan keluar kepada kita. Rasulullah mengatakan, “Barang siapa memperbanyakkan istighfar nescaya Allah memberikan jalan keluar bagi setiap kesedihannya, kelapangan untuk setiap kesempitannya dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Ahmad) Wajib diingat kita adalah orang Islam beriman bukan jahiliyah ataupun kaum kafir. Mukmin itu sentiasa tenang dengan apa jua ketetapan dari Allah samada ia berbentuk kegembiraan ataupun kedukaan. Menyalahkan orang lain tidak akan memperbaiki keadaan. Hendaklah kita berbaik sangka terhadap Allah yang Maha Memberi Rezeki. Benarlah kata Nabi tentang sikap orang yang beriman,“Ajaibnya urusan orang Mukmin, seluruh urusannya adalah kebaikan dan ini tidak terdapat kecuali pada seorang Mukmin. Jika mendapat kesenangan dia bersyukur dan baik baginya, jika ditimpa musibah dia bersabar dan ini juga baik baginya.” (Riwayat Muslim) Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 06 September 2013 Penulis adalah Lulusan Syariah Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM), Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia (iLMU) Web : ilmu salaf dot com
↧