Ahmad Tajuddin Bin Idris al-Manhaji Islam adalah apa yang ada di dalam al-Quran dan sunnah. Selain itu, yakni apa yang tiada di dalam keduanya bukanlah Islam. Hal ini kerana Islam itu adalah apa yang diperkataakan oleh Allah melalui al-Quran kemudian ditafsirkan dan dipraktik oleh Nabi SAW melalui sunnah baginda seterusnya diwariskan secara baik kepada para sahabat dan generasi salafus soleh yang mendapat petunjuk. Maka, metod dalam kita mahu menentukan sesuatu perkara atau perbuatan itu sesuai dengan Islam ia perlu merujuk kepada metod Nabi, sahabat dan generasi salafus soleh ini. Sekiranya metod mereka tidak dijadikan asas di dalam menentukan sesuatu perkara itu sesuai dengan Islam atau tidak maka kesesatan dan penyelewengan akan terjadi dalam memahami Islam. Hari ini kaum muslimin sedar tak sedar dalam memusuhi agama Yahudi dan Kristian dengan lisan mereka, namun dalam masa yang sama semua amalan dan perkara yang datang dari Yahudi dan Kristian cepat-cepat diambil dalam kehidupan seharian. Baik dalam sekecil-kecil perkara sampailah kepada pemerintahan Negara. Sedangkan Nabi saw telah mewasiatkan kepada kita semua bahawa selagi manusia berpegang kepada al-Quran dan sunnah yang sahih tidak akan sesat sampai bila-bila. Sesungguhnya al-Quran dan sunnah Nabi itu adalah petunjuk. Malamnya seperti siangnya. Tiada sesuatu perkara pun yang ditinggalkan melainkan semua telah dijelaskan. Inilah hakikat kesempuaran Islam. Tetapi kaum muslimin ramai yang melaungkan perjuangan di atas nama Islam, hakikatnya seruan Islam mereka itu tersasar jauh dari apa yang diperkatakan. Mereka ingin menegakkan sistem pemerintahan Islam tetapi mereka memperjuangkan demokrasi sebagai asas keadilan dalam pemerintahan. Sedangkan demokrasi itu adalah dari Yahudi dan diamalkan seluaskan oleh kaum Kristian. Ini antara contoh ingin mengislamisasikan perkara yang datang dari Yahudi dan Kristian. Semoga Allah melindungi kita semua dari menjadi sebahagian yang memeperjuangnya. Pemerintahan Islam adalah syura. Yang mana syura itu terdiri daripada alim ulama yang tiada kepentingan dalam melantik pemerintah Islam dan jauh dari hizbiyah dan ta’assub. Apabila al-Quran dan sunnah mengharamkan perkara yang boleh menimbulkan hura-hura,kacau-bilau, menentang pemerintahan Islam yang boleh mengakibatkan pertumbahan darah. Dengan cepat kaum muslimin mencari, mentakwil dan memaksa-maksa dalil dari al-Quran dan sunnah supaya dapat menghalalkan demonstrasi, kacau-bilau dan pertumpahan darah di atas nama jihad dan syahid. Sedangkan terang lagi bersuluh demonstrasi datang dari sistem Yahudi dan Kristian. Lihatlah bagaimana tergamaknya sebahagian manusia menggunakan sepenuh hati sistem yang datang dari Yahudi dan Kristian untuk mendapatkan atau membela sesuatu perkara. Lebih malang sebahagian manusia yang pandai berbicara mengajak dengan emosi agar orang lain yang kurang ilmu turut membenarkan sistem yang datang dari Yahudi dan Kristian ini. Jadi, tidak semena-mena perkara yang dilarang dan diharamkan oleh al-Quran, sunnah dan para ulama yang berpegang dengan metod salafus soleh telah difahami sebagai sebahagian di dalam sistem yang diiktiraf Islam oleh kebanyakkan kaum muslimin yang hanya berbekalkan emosi tanpa ilmu. Padahal berdemonstrasi itu adalah satu kezaliman dan Islam tidak pernah menghalalkan kezaliman. Maka tidak hairanlah Allah membalas mereka yang suka kepada kezaliman ini dengan kezaliman yang lain pula. Natijahnya mungkin kezaliman yang timbul dari kezaliman yang dicetuskan pada permulaan lebih besar dah dahsyat lagi. Hakikat inilah yang sedang kita hadapi hari ini di mana pembunuhan demi pembunuhan yang banyak terjadi terutamanya di Negara kaum muslimin. Kalaulah demokrasi itu datang dari Islam, sudah tentu Negara kaum muslimin telah lama maju dan makmur. Kalaulah demonstrasi itu adalah salah satu sistem dalam Islam untuk menuntut keadilan maka sudah pasti tiada satu pun pertumpahan darah akan berlaku. Mana mungkin sesuatu perkara yang datang dari Islam, al-quran dan sunnah itu bernatijah sesuatu yang buruk. Sedangkan kita kaum muslimin beriman Islam itu adalah kesejahteraan. Mana mungkin agama yang mempunyai aturan dan sistem kehidupan yang mementingkan hak, maruah, harta benda dan darah sesama kaum muslimin bahkan kepada sesiapa pun tidak mampu menyelesaikan semua hak-hak ini. Silapnya kita sendiri. Terlalu mudah dan cepat percaya dengan sistem yang datang dari Yahudi dan Kristian. Memang kita tidak pernah mengatakan menolak al-Quran dan sunnah Nabi tetapi kita jadikan al-Quran dan sunnah itu sebagai penguat untuk kita menghalalkan segala amalan-amalan yang diamalkan oleh orang Yahudi dan Kristian. Sewajarnya semua kaum muslimin harus cepat-cepat sedar dan bermuhasabah dengan kembali kepada Allah swt dengan bertaubat kepadanya, memohon keampunan kepada-Nya di atas dosa-dosa kita sendiri. Kembalilah memperjuangkan tauhid dan menjauhi thaghut dan syirik. Berazam mengamalkan sunnah Nabi yang sahih walaupun dikecam oleh kebanyakan manusia. Kerana nanti kita kembali kepada Allah dengan ditanya tentang amalan kita sendiri sama ada mengikut petunjuk al-Quran dan sunnah ataupun tersasar dengan mengikuti golongan Yahudi dan Kristian yang dilaknat Allah. Lulusan Syariah Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM), Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia (iLMU) Web : ilmu salaf dot com Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 23 Ogos 2013
↧