Ahmad Tajuddin Bin Idris al-Manhaji Doa qunut witir sememangnya merupakan sunnah Nabi saw dan disyariatkan kepada kita agar melakukanya. Tidak ada masalah di dalam kita menambahkan dengan doa-doa yang lain. Namun, Nabi saw pernah mengajarkan lafaz doa qunut witir ini kepada cucunya iaitu Hasan bin Ali RA. Doa qunut yang Nabi ajarkan kepada hasan bin Ali adalah seperti yang telah kita hafal selama ini. Terjemahan doa qunut witir tersebut berbunyi : “Wahai Allah, berilah petunjuk padaku sebagaimana Engkau berikan petunjuk (kepada selainku), berilah keselamatan kepadaku sebagaimana Engkau berikan keselamatan (kepada selainku), jadikanlah aku waliMu sebagaimana Engkau jadikan (selainku) sebagai wali, berilah berkah kepadaku pada semua pemberianMu, lindungilah aku dari keburukan takdirMu, sesungguhnya Engkau menakdirkan dan tidak ada yang menentukan takdir bagimu, dan orang yang Engkau jadikan wali tidak akan terhinakan dan orang yang Engkau musuhi tidak akan mulia. Mahasuci dan Mahatinggi Engkau, wahai Rabb kami dan tidak ada tempat keselamatan kecuali padaMu”. (HR. Abu Daud, doa dibawakan oleh Syeikh al-Albani dalam Sifat Solat Nabi, ms 180–181). Para ulama sepakat akan keabsahan lafaz doa qunut ini, cuma terdapat perbezaan di kalangan para ulama tentang hukum doa qunut di dalam solat witir. Apa yang rajih, secara umum hukum fiqhnya doa qunut di dalam rakaat witir yang terakhir hukumya sunat bukan wajib. KHILAF YANG MUKTABAR Manakala para ulama berbeza pandangan juga dalam hal melakukan doa qunut tersebut apakah sepanjang tahun ataupun hanya 15 Ramadan yang terakhir. Kedua-dua pendapat ini sebenarnya adalah khilaf yang muktabar. Tidak menjadi masalah kepada sesiapa yang hendak melakukan sepanjang malam doa qunut dalam solat witir ini ataupun hanya hendak melakukannya pada setengah Ramadan yang terakhir iaitu bermula malam ke 15 kerana khilaf muktabar ianya datang dengan dalil yang sama-sama kuat. Imam at-Tirmizi mengatakan : “Para ulama berbeza pendapat dalam permasalahan qunut witir. Abdullah bin Mas’ud RA memandang bahawa qunut witir dilakukan sepanjang tahun..”. Manakala terdapat riwayat daripada Ali bin Abi Thalib RA bahawa beliau tidak melakukan qunut witir kecuali di separuh akhir bulan Ramadan (bermula malam ke 15 ).( Sunan at-Tirmizi, jilid 2 ms 329.) Antara perbahasan lain di kalangan para ulama berkaitan dengan doa qunut witir ini adalah waktu bilakah ianya dilakukan? Apakah doa qunut witir ini dibaca sebelum rukuk ataupun setelah bangun dari rukuk? SEBELUM ATAU SELEPAS RUKUK Hal ini juga termasuk dalam khilaf yang muktabar, di mana para ulama yang berpegang dengan pendirian ianya dilakukan sebelum rukuk berpedoman dengan hadis Nabi saw daripada Ubai bin Kaab RA. Kata Ubai RA : “ Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berwitir lalu melakukan qunut sebelum rukuk.” (HR. Ibnu Majah, dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil, jilid 2 ms 167, hadis no. 426) Amalan doa qunut witir sebelum rukuk ini juga dikuatkan lagi dengan athar Abdullah bin Mas’ud RA daripada Alqamah. Kata Alqamah : “Sungguh, Ibnu Mas’ud dan para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dahulu melakukan qunut dalam witir sebelum rukuk.” (HR. Ibnu Abi Syaibah, Syeikh al-Albani mengatakan dalam Irwa’ al-Ghalil jilid 2 ms 166, sanadnya baik dan ia sesuai syarat Muslim). Dan riwayat yang mengatakan bahawa doa qunut witir dilakukan setelah bangun dari rukuk datangnya daripada riwayat Urwah bin Zubair RA yang sangat panjang. Kata Urwah : “Sesungguhnya, Abdurahman bin Abdul Qari yang dahulu di zaman Umar bin al-Khattab bersama Abdullah bin al-Arqam memegang baitul mal berkata: “Sesungguhnya Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu keluar di malam hari di bulan Ramadan, lalu Abdurrahman bin Abdul Qari keluar dan mengelilingi masjid, dan mendapatkan orang-orang di masjid terbagi-bagi lagi tidak bersatu, seseorang solat sendiri dan yang lainnya mengimami solat sejumlah orang. Maka Umar berkata, ‘Demi Allah, saya pandang seandainya kita kumpulkan mereka pada satu imam saja tentunya akan lebih baik.’ Kemudian Umar bertekad untuk itu dan memerintahkan Ubai bin Ka’ab untuk mengimami solat malam mereka di bulan Ramadan. Lalu Umar radhiyallahu ‘anhu keluar menemui mereka lagi dalam keadaan orang-orang solat di belakang satu imam, sehingga Umar berkata, ‘Sebaik-baiknya bid’ah adalah ini dan yang tidur (tidak ikut) lebih utama dari yang ikut solat (beliau memaksudkan bahwa (yang solat) di akhir malam (lebih utama), karena pada saat itu orang-orang melakukan shoat tarawih di awal malam). Mereka melaknati orang kafir pada separuh bulan Ramadan dengan doa, ‘Ya Alllah, binasakanlah orang-orang kafir yang menghalangi (orang) dari jalanMu, mendustakan para RasulMu, dan tidak beriman dengan janjiMu. Cerai beraikan persatuan mereka dan timpakanlah rasa takut dihati-hati mereka, serta timpakanlah siksaan dan azabMu pada mereka, wahai sesembahan yang haq.’ Kemudian (mereka) berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berdoa untuk kebaikan kaum muslimin semampunya, kemudian memohon ampunan untuk kaum mukminin.’ Beliau berkata, ‘Apabila ia selesai melaknat orang-orang kafir, bersalawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, memohon ampunan untuk kaum mukminin dan mukminat, serta menyebutkan permintaan lainnya, ia mengucapkan, ‘Ya Allah, kami menyembah hanya kepada-Mu, berusaha dan beramal hanya untukMu, dan memohon rahmatMu, wahai Rabb kami. Kami pun takut kepada azabMu yang pedih. Sesungguhnya azabMu ditimpakan kepada orang yang Engkau musuhi.’ Kemudian ia bertakbir dan turun untuk sujud.’” (HR. Ibnu Khuzaimah dalam Sahih-nya, jilid 2 ms 155–156, dikatakan pentahqiqnya, Isnad-nya shahih). Kata “Kemudian bertakbir dan turun untuk sujud” menunjukkan qunut witirnya dilakukan setelah rukuk. MENGANGKAT TANGAN, MENJAHARKAN BACAAN HINGGA HABIS Cuma apa yang perlu dimbil perhatian oleh kaum muslimin dalam Negara ini, semasa membaca doa qunut witir ini hendaklah mengangkat kedua belah tangan kemudian dirapatkan kedua-duanya sehingga ke dada dalam keadaan tapak tangan mengadap ke atas, jangan dijarakkan kedua belah tangan dan tidak perlu mengangkatnya lebih daripada paras dada. Perkara ini seperti apa yang terkandung dalam hadis riwayat al-Aswad RA dalam menceritakan keadaan Abdullah bin Mas’ud semasa membaca doa qunut witir, kata beliau : “Sesungguhnya, Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu dahulu mengangkat kedua tangannya dalam qunut hingga ke dadanya.” (HR. al-Marwazi dalam Mukhtashar kitab al-Witr, ms. 139) Satu lagi yang perlu diperjelaskan tentang cara membaca doa qunut witir di dalam amalan masyarakat kita ialah apabila imam membaca doa qunut witir pada permulaan lafaznya secara jahar (bacaan secara terang ), namun setelah sampai pada lafaz “fainnakataqdhi wala yuqdha ‘alaik” imam terus memdiamkan atau memperlahankan lafaz doa qunut witir yang seterusnya kemudian dihujung-hujung pula kembali menjaharkan bacaan lafaz [...]
↧