Ahmad Tajuddin Bin Idris al-Manhaji Terdapat kelonggaran dalam Islam kepada lelaki atau perempuan yang tidak mampu lagi berpuasa, orang sakit yang tidak boleh sembuh, wanita yang sedang hamil dan wanita yang menyusukan anak. Firman allah yang bermaksud : “ Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin”. (Surah al-Baqarah ayat 184) Kata Ibnu Abbas : “Ayat ini tidak mansuh, mereka ialah orang tua lelaki dan wanita yang tidak mampu berpuasa maka mereka memberi makan bagi setiap hari seorang miskin”. (Hadis Bukhari, Bab Qaulihi Taala Ayyaman Ma’dudat, No 4145) Islam telah memberikan kepada mereka ini kelonggaran untuk tidak berpuasa tanpa qada’. Apa yang perlu, mereka hanya membayar fidyah setiap hari yang ditinggalkan puasa itu dengan memberi makan kepada orang miskin. WANITA HAMIL DAN MENYUSU HANYA FIDYAH TANPA QADA’ Memang terdapat perbezaan pandangan dalam menentukan hukum bagi wanita yang hamil dan menyusui anak sama ada perlu qada’ dan membayar fidyah (kedua-duanya) atau mengqada’ sahaja atau membayar fidyah sahaja. Paling rajih bagi wanita yang hamil dan menyusui anak adalah dengan membayar fidyah sahaja tanpa qada’ puasa. Tidak kira sama ada dia khuatir akan dirinya mahupun diri anaknya. Terdapat 2 riwayat daripada Ibnu Abbas, maksudnya : “ Jika seorang wanita hamil mengkhuatirkan dirinya dan wanita menyusui mengkhuatirkan anaknya di bulan Ramadhan (jika mereka berdua berpuasa) maka mereka berdua berbuka dan membayar fidyah untuk setiap hari dengan memberi makan kepada seorang miskin, dan keduanya tidak mengqada’.” (Diriwayatkan oleh At-Tabari no 2758. Syeikh al-Albani berkata, “Isnadnya sahih sesuai dengan persyaratan Imam Muslim lihat al-Irwaa jilid 4 ms 19) Riwayat yang kedua, kata Ibnu Abbas : “Dahulu (merujuk ayat surah al-Baqarah ayat 184) ini adalah kelonggaran bagi orang tua lelaki dan wanita yang mana keduanya berdaya berpuasa untuk memberi makan setiap hari seorang miskin, juga wanita hamil dan menyusu jika kedua-duanya takut. Abu Daud berkata : “ iaitu takut atas anak mereka, mereka buka dan memberi makan (fidyah)”. (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab al-Saum, no 1974) Hadis Ibnu Abbas RA ini jelas menunjukkan bahawa perempuan yang menyusui anak dan hamil tidak disebutkan perlunya mengqada’ puasa mereka melainkan hanya membayar fidyah bagi hari-hari yang ditinggalkan dari berpuasa. Juga terdapat riwayat daripada Ibnu Umar RA, Bahawa seorang wanita bertanya kepadanya semasa mengandung lalu beliau menjawab: “ Bukalah puasa dan beri makan setiap hari kepada seorang miskin dan jangan qada’ “. ( Hadis Riwayat Daruqutni dengan sanad yang jayyid oleh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil jilid 4 ms 20 ) CARA MEMBAYAR FIDYAH Manakala cara untuk mengeluarkan fidyah ini ada beberapa kaedah. Pertama, menyediakan makanan dengan memasak dengan kadar 1 mud bagi satu hari yang tidak berpuasa untuk seorang miskin. Nilai kadar 1 mud terdapat khilaf namun, jika ditukar dalam nilai di dalam kilogram ia di antara 510 gram sehingga ke 625 gram. Setelah itu boleh dijemput atau diberikan makanan yang telah siap dimasak berserta lauknya kepada setiap orang miskin dengan kadar hari yang ditinggalkan puasa tersebut. Dalilnya seperti dari kisah Anas bin Malik RA, bahwasanya beliau apabila sudah tua dan tidak mampu untuk berpuasa pada satu tahun. Maka beliau membuatkan satu piring besar dari tsarid (roti). Kemudian beliau memanggil 30 orang miskin, dan mempersilakan mereka makan sehingga kenyang. (Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Irwa’ul Ghalil ). 30 orang miskin tersebut mengambil kira jumlah hari beliau tidak berpuasa. Kaedah kedua, menyediakan makanan ruji tanpa perlu dimasak seperti beras dan diberikan kepada setiap seorang miskin dengan jumlah yang sama iaitu 1 mud untuk kadar sehari tidak berpuasa. Boleh diberikan semua fidyahnya kepada seorang miskin tersebut kadar hari yang ditinggalkan dan boleh juga diberikan kepada beberapa orang miskin agar jumlah fidyahnya sama dengan hari yang tidak berpuasa. Cuma adalah lebih baik ditambahkan dengan lauk disamping beras fidyah yang mereka terima itu. Boleh dilebihkan fidyah tersebut seperti firman Allah yang bermaksud : “Maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran Fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya…” (Surah al-Baqarah ayat 184) WAKTU MEMBAYAR FIDYAH Dan masa untuk mengeluarkan fidyah kepada orang miskin di atas puasa yang ditinggalkan terdapat 2 keadaan. Pertama, terus menyediakan makanan yang telah dimasak atau makanan yang belum dimasak seperti beras selepas habis waktu berpuasa pada hari-hari yang ditingalkan puasa tersebut. Misalnya, pada hari pertama seorang yang hamil tidak berpuasa dan pada malam hari tersebut juga ataupun esoknya dia terus memberikan makan kepada seorang miskin atau memberi beras dengan ukuran 1 mud. Yang kedua pula, boleh ditangguhkan menyediakan fidyah tersebut sehingga bulan-bulan diluar Ramadan, dengan dihimpunkan fidyah bagi hari-hari yang tidak berpuasa. Seperti perbuatan Anas bin Malik yang menghimpunkan 30 orang miskin sekaligus selepas tamat puasa bulan Ramadan. Apa yang perlu diambil perhatian, fidyah meninggalkan puasa ini tidak boleh diganti dengan bayaran berbentuk wang ringgit walaupun nilai bayaran wang tersebut menyamai dengan kadar fidyah dalam bentuk 1 mud makanan tersebut. Penulis adalah Lulusan Syariah Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM), Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia (iLMU) Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 26 Julai 2013
↧