Quantcast
Channel: Pertubuhan Ilmuan Malaysia | Teguh Atas Jalan Nabi & Para Sahabat » Ust. Ahmad Tajudin Idris
Viewing all articles
Browse latest Browse all 10

USAH TERJEBAK BIDAAH SYAABAN

$
0
0
Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji Ramai masyarakat dalam Negara kita masih keliru tentang amalan dalam bulan Sya’ban. Kebanyakan daripada hadis-hadis tentang anjuran beramal dalam bulan Sya’ban adalah dhaif dan palsu, cuma hanya ada beberapa hadis sahaja yang sahih tentang Sya’ban. Apabila kaum muslimin tidak dapat membezakan atau mengetahui mana satu hadis tentang bulan Sya’ban yang sahih, mana yang palsu dan dhaif ia boleh mengakibatkan sesuatu amalan yang dilakukan menjadi sia-sia dan tidak diterima Allah iaitu seandainya ia berpedoman dengan hadis mauduk dan dhaif. Apa yang pasti, hadis yang dhaif dan maudu’ tentang  Sya’ban lebih banyak dan popular berbanding hadis yang sahih tentang Sya’ban. Maka sewajarnya kaum muslimin menyemak terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa amal  ibadat dalam bulan Sya’ban. Di antara hadis-hadis yang sahih tentang Sya’ban adalah anjuran berpuasa di siangnya tanpa mengkhususkan tarikh-tarikh tertentu seperti 1 Sya’ban atau 15 Sya’ban. Hal ini kerana menentukan tarikh dan waktu yang khusus untuk sesuatu amal ibadat yang dijelaskan secara umum oleh Nabi memerlukan dalil-dalil atau hadis yang mengkhususkannya agar tidak  terjebak dengan amalan bid’ah. Hadis sahih dan hasan tentang keumuman memperbanykakan anjuran bepuasa pada bulan Sya’ban adalah hadis yang datang dari Aisyah RA dan Usamah bin Zaid RA iaitu : Dari Aisyah berkata: “Aku tidak pernah mengetahui Nabi berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah mengetahui dia lebih banyak berpuasa daripada di bulan Sya’ban. (HR. Bukhari No.1969, Muslim no. 782). Dari Usamah bin Zaid berkata, Aku bertanya: “ Wahai Rasulullah, saya tidak melihatmu berpuasa di bulan seperti engkau berpuasa di bulan Sya’ban (kerana seringnya), beliau menjawab: “Bulan itu banyak manusia lalai, iaitu antara Rejab dan Ramadhan, bulan diangkat amal-amal kepada Rabb semesta alam, dan aku ingin untuk diangkat amalku dalam keadaan berpuasa”. (HR. Nasai 4/4201, Ahmad 5/201 dan dihasankan Syeikh al-Albani dalam As-Sahihah 4/1898) Terdapat juga hadis sahih dari Nabi meperingati  agar jangan berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadan. Kata Nabi: “Janganlah kalian mendahului bulan Ramadan dengan berpuasa sehari atau dua hari, melainkan seseorang yang (terbiasa) berpuasa, maka berpuasalah.”(Hadis Riwayat Muslim) Larangan  hadis Nabi ini dituju kepada mereka yang ingin berpuasa sehari atau 2 hari sebelum Ramadan dengan niat ingin menyambut kedatangangan Ramadhan. Selain itu larangan ini kerana Nabi melarang berpuasa pada 30 Sya’ban yakni waktu syak yang mana kemungkinan telah masuknya bulan ramadhan menjadikan  Sya’ban hanya 29 hari sahaja. Di malam bulan Sya’ban pula, boleh dikatakan langsung tiada hadis tentang pengkhususan amal ibadat yang perlu dilakukan. Memang terdapat hadis sahih tentang Allah swt turun ke langit dunia pada malam nisfu sya’ban. Seperti kata Nabi : “ Allah tabaraka wa Ta’ala turun kepada makhlukNya pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia mengampuni seluruh makhlukNya kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuhan”. (Silsilah Ahadis as-Sahihah no.1144 karya Syeikh al-Albani) Namun, hadis ini bukanlah dalil dan hujah kepada kaum muslimin untuk mengkhususkan apa-apa amal ibadat di malam nisfu Sya’ban ini. Tiada satu pun hadis dari Nabi dan tiada juga petunjuk dari amalan para sahabat dan imam-imam mazhab yang empat menganjurkan amalan-amalan tertentu di malam ini. Nabi dan para salafus soleh tidak pernah mengatakan bahawa pada malamnya hendaklah membaca 3 kali yasin dengan setiap niat yang tertentu atau Mendirikan solat sunat nisfu Sya’ban atau membaca doa-doa tertentu yang dikatakan datang dari Nabi saw ataupun disarankan banyak bersedekah . Perkara ini telah banyak dijelaskan oleh ulama salaf terdahulu berkenaan amalan yang menyanggahi sunnah ini. Seperti perkataan Imam Qurtubi : “Tentang malam nisfu Sya’ban tidak terdapat satu hadis pun yang dapat dijadikan sandaran, baik mengenai keutamaannya atau tentang pembatalan ajal seseorang, maka janganlah kalian mempedulikannya!”. (Lihat Tafsir Qurtubi jilid 16, ms 128) Bahkan Ibnu Taimiyah lebih lantang dengan mengatakan : “Adapun mengkhususkan puasa pada hari nisfu Sya’ban, tidak ada dasarnya, bahkan haram. Demikian pula menjadikannya sebagai perayaan, dengan membuat makanan dan menampakkan perhiasan. Semua ini merupakan perayaan-perayaan bid’ah yang tidak berdasar sama sekali. Termasuk pula berkumpul untuk melakukan solat Alfiyah di masjid-masjid. Kerana melaksanakan solat sunnah pada waktu, jumlah raka’at, dan bacaannya tertentu yang tidak disyari’atkan, hukumnya haram, dan jika tidak disunnahkan maka haram mengamalkannya. Seandainya malam-malam yang mempunyai keutamaan tertentu disyari’atkan untuk dikhususkan dengan melakukan solat, tentunya amalan solat tersebut disyari’atkan pula untuk dilakukan pada malam aidilfithri, aidiladhha, dan hari Arafah”. (Iqtidha’ Sirathil Mustaqim  jilid 2, ms138) Barangkali pedoman kepada kaum muslimin dalam menghidupkan malam nisfu Sya’ban dengan amalan-amalan tertentu datangnya dari hadis palsu yang dikatakan diriwayatkan oleh Ali RA. Hadis palsu tersebut berbunyi : “Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah s.w.t. akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar. (Hadis ini adalah maudu’(palsu), diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Lihat  Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani) Bahkan banyak lagi hadis-hadis palsu tentang anjuran bermal di malam nisfu Sya’ban ini yang masih tidak diketahui oleh ramai kaum muslimin di Negara ini mungkin juga dikebanyakkan Negara islam hari ini. Semoga kita dapat berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu amal ibadat yang dsandarkan pada Nabi kerana tersalah dalam menyatakan sesuatu yang palsu itu adalah kebenaran takut-takut termasuk berdusta di atas nama Nabi dan diancam neraka. Penulis adalah Ketua Biro Massa ilmuan Malaysia (iLMU), Lulusan Syariah Fiqh dan Usul, Universiti Malaya (UM) Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat 28 Jun 2013

Viewing all articles
Browse latest Browse all 10