Ahmad Tajuddin Bin Idris al-Manhaji Setelah kita memahami dan beriman dengan akidah dan tauhid sesuai Ahli sunnah wal Jamaah yang sahih, susulannya pula perlu dibuktikan dengan amal soleh sebagai lambang seorang mukmin. Amal soleh yang menjadi tunjang kepada lambang seorang mukmin adalah solat fardu lima waktu sehari semalam. Besarnya ibadat solat ini, sehingga Allah swt apabila ingin mewahyukan kefarduan ibadat solat kepada Nabi saw dengan menjemput baginda dengan mukjizat yang paling unggul. Baginda dijemput oleh Allah swt menjadi tetamu Allah yang mulia dengan perjalanan mi’raj sehingga ke Sidratul Muntaha yakni langit ketujuh yang tertinggi. Baginda berjumpa dengan Allah secara langsung, diwahyukan kerfarduan solat terus kepada baginda tanpa perantaraan dan hijab. Kalaulah solat ini bukan amal ibadat yang paling Allah cintai, masakan pula ianya diwahyukan dengan cara yang paling agung, kepada Nabi yang Agung dan di tempat yang tidak pernah ada makhluk menjejakinya kecuali Nabi Muhammad saw. Peristiwa ini menjadi sejarah dan bukti tentang kepentingan ibadat solat berbanding dengan ibadat-ibadat yang lain. SOLAT TIANG ISLAM Seperti yang kita sedia maklum, bahawa solat fardu merupakan rukun Islam yang kedua. Di dalam hadis Nabi saw, Nabi mengatakan : “Pokok segala perkara adalah Islam dan tiangnya adalah solat.” (HR. Tirmidzi no. 2825. Dikatakan sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih wa Dhaif Sunan at-Tirmidzi ). Jadi, apabila seorang Islam itu itu tidak mendirikan solat maka ia telah meruntuhkan tiang Islam itu sendiri. Sehingga Islam tidak pernah membezakan di antara orang Islam dan orang kafir dalam sesuatu amal ibadat melainkan dalam hal solat. Mungkin kita suka menderma tetapi ada juga orang kafir yang suka menderma. Kita berbuat baik kepada ibu bapa mereka juga berbuat baik kepada ibu bapa mereka. Boleh dikatakan dalam banyak perkara amal kebaikan kemungkinan mereka ada yang sama dengan kita tetapi tidak dalam hal ibadat solat. Solat hanya ada pada orang Islam sahaja. Ia Didirikan dengan penuh displin, ditetapkan masanya dan mempunyai cara yang khusus pula. BEZA ISLAM DAN KAFIR Perkara ini dikuatkan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud : “Pemisah antara seorang hamba dengan kekufuran dan keimanan adalah solat. Apabila dia meninggalkannya, maka dia melakukan kesyirikan.” (HR. At-Thabari dengan sanad sahih. Syeikh al-Albani mengatakan hadis ini sahih. Lihat Sahih at-Targib wa at- Tarhib no. 566). Dengan hadis ini juga Umar al-Khattab pernah mengatakan : “Tidak ada bahagian dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat”. (Kitab Sunan Ad-Daruqutni, Hadis sahih, sebagaimana dikatakan oleh Syeikh al-Albani dalam Irwa’ul Ghali l no. 209). Ketika Umar mengatakan perkataan di atas tatkala menjelang kematiannya, tiada seorang sahabat pun yang mengingkarinya. Manakala seorang tabien yang bernama Abdullah bin Syaqiq beliau mengatakan: “Dulu para shahabat Muhammad saw tidaklah pernah menganggap suatu amal yang apabila ditinggalkan menyebabkan kafir kecuali solat”. (Lihat As-Tsamar Al-Mustathab fi Fiqhis Sunnah wal Kitab, ms. 52) FATWA SAHABAT DAN ULAMA SALAF Hal ini mengukuhkan bahawa hukum meninggalkan solat adalah kafir merupakan ijmak (kesepakatan) sahabat Nabi sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu al-Qayyim di dalam kitab As-Solahnya. Begitu juga majoriti ulama Salaf dalam membahaskan semua perkara maksiat yang dilakukan seseorang Islam mereka sepakat tidak menjatuhkan kafir pelaku maksiat kecuali dalam hal maksiat meninggalkan solat. Seperti kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah : “ Kaum muslimin bersepakat bahawa meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja adalah dosa besar yang paling besar dan dosanya lebih besar dari dosa membunuh, merampas harta orang lain, berzina, mencuri, dan minum arak. Orang yang meninggalkannya akan mendapat hukuman dan kemurkaan Allah serta mendapatkan kehinaan di dunia dan akhirat.” (As- Solah, ms. 7) Mana mungkin ada perasaan rasa bersalah atau berdosa kepada orang Islam apabila mereka tidak mengetahui ancaman agama terhadap meninggalkan solat. Barangkali juga mereka yang lalai menjaga solat tidak terdidik dari kecil akan kewajipan mendirikan solat ini oleh ibu bapa mereka. Belajar solat sebenarnya dimulai di rumah bukan di sekolah. Diajar pertamanya oleh ibu dan bapa sendiri bukan guru di sekolah. Kepada yang lalai dan meninggalkan solat fardu ini hendaklah segera bertaubat. Mereka yang enggan bertaubat dari meninggalkan solat dikhuatiri Allah akan mengazabkan kita dengan neraka yang paling bawah. Allah swt berkata : “ Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang buruk) yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui ‘al- ghoiya’, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh.” (Surah Maryam, ayat 59-60) Tahukah kita apa itu al-Ghoiya? Ibnu Mas’ud RA menjelaskan bahawa ‘ghoiya’ dalam ayat tersebut adalah sungai di neraka jahanam yang sangat bawah, dan ianya merupakan tempat kepada orang-orang kafir bukan tempatnya orang Islam yang diazab.(As-Solah, ms. 31) Oleh itu kaum muslimin dalam Negara ini sewajarnya bersungguh-sungguh menjaga solat fardu lima waktu ini sebagai benteng agar tidak terjatuh dalam lembah kekafiran. Kepada yang telah menjaganya semoga ianya dapat terus istiqamah dalam mendirikannya di samping memperbaiki tatacara solat sesuai dengan solat yang dilakukan oleh Nabi saw. Penulis adalah Lulusan Syariah Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM) dan merupakan Ketua Biro Massa Ilmuwan Malaysia (iLMU) Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 14 Jun 2013
↧