Ahmad Tajuddin Bin Idris al-Manhaji Alhamdulillah syukur kepada Allah, tahun ini kita masih lagi diizinkan oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadhan sekali lagi. Maka hendaklah Ramadan kali ini menjadi motivasi kepada kita dengan memanfaatkan segala kebaikan dan amal soleh seolah-olah inilah Ramadan kita yang terakhir. Dan di antara kebaikan dan amal soleh dalam bulan Ramadhan yang paling besar adalah melaksanakan ibadat puasa itu sendiri sesuai dengan sunnah Nabi saw. Apa yang dilakukan dan disuruh oleh Nabi saw dalam berpuasa itulah yang terbaik manakala yang tidak dilakukan oleh Nabi dan tidak disuruh itu bukanlah sunnah baginda. Semua orang Islam mengetahui bahawa puasa bermula dengan terbit fajar yakni masuk waktu subuh dan berbuka setelah tenggelamnya matahari yakni masuk waktu maghrib. Namun, takrif puasa yang mudah difahami ini jika dilihat kebanyakan orang Islam yang berpuasa terdapat perbezaan praktikal dengan takrif puasa ini. TIADA ISTILAH IMSAK Misalnya, telah menjadi kebiasaanya orang Islam hari ini imsak ketika bersahur, iaitu berhenti 10 minit sebelum masuk waktu subuh dan beriktikad pada tempoh masa 10 minit ini tidak boleh lagi menjamah makanan dan perlu berhenti serta-merta. Lebih parah lagi bersangka batal puasa seseorang seandainya masih makan dan minum dalam tempoh imsak ini. Benarkah dakwaan ini? Apakah ada sandaran dari Nabi saw? Sebenarnya amalan imsak ini tidak menepati petunjuk dan sunnah Nabi saw. Buktinya di antara sunnah dan dianjurkan Nabi semasa bersahur untuk berpuasa adalah dengan melewatkan sahur seperti hadis Nabi saw yang bermaksud : “Tiga perkara merupakan akhlak kenabian; mencepatkan buka puasa, melewatkan sahur dan meletak tangan kanan atas tangan kiri dalam solat”. (Riwayat Al-Thabarani, dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih al-Jami’, no. 3038) Dan ia dikuatkan lagi dengan hadis Zaid yang ditanya oleh Anas kepadanya, bahawa Zaid mengatakan jarak Nabi saw dan para sahabat bersahur sebelum waktu subuh dalam tempoh 50 ayat al-Quran dibacakan. Hal ini seperti yang terkandung dalam hadis Zaid yang berbunyi: Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama sahur antara azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dua hadis di atas jelas menunjukkan bahwa tiada petunjuk daripada Nabi yang memberhentikan makan dan minum dalam tempoh tertentu sebelum masuk subuh. Hal ini telah dibahaskan oleh Imam Ibnu Hajar di zamannya lagi dengan mengatakan: “Di antara bid‘ah-bid‘ah yang munkar ialah apa yang berlaku di zaman ini iaitu melaungkan azan kedua sebelum waktu subuh dengan anggaran satu pertiga jam pada bulan Ramadhan, di samping memadamkan pelita-pelita yang dijadikan tanda pengharaman makan dan minum bagi mereka yang ingin berpuasa. Perbuatan ini dianggap satu usaha berjaga-jaga dalam ibadat. Perkara ini tidak diketahui kecuali oleh segelintir manusia. Perbuatan ini juga telah menarik mereka untuk tidak melaungkan azan kecuali selepas terbenamnya matahari seketika untuk memastikan waktu –pada sangkaan mereka-. Dengan ini mereka telah melewatkan berbuka dan mencepatkan bersahur dan mereka telah menyalahi as-Sunnah. Disebabkan inilah kebaikan menjadi sedikit di kalangan mereka dan keburukan menjadi banyak di antara mereka. Allah jualah yang dipohon pertolongan”.( Lihat Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Baari, 4/199) AZAN KETIKA SAHUR Lebih jelas bukti yang menunjukkan tiadanya imsak dalam Islam ini walau apa sekalipun matlamatnya, adalah hadis Nabi yang melarang seseorang berhenti ketika bersahur walaupun azan subuh telah berkumandang. Kata Nabi saw yang bermaksud : “Sekiranya seorang daripada kamu mendengar azan sedang bekas makanan di tangannya, janganlah dia letakkan sehingga dia selesai menghabiskan apa yang perlu.”( Riwayat Abu Daud, Dinilai hasan sahih oleh Syeikh al-Albani ) Maka yang sahih dan menepati sunnah bersahur untuk berpuasa ini adalah tiada waktu imsak. Berhentilah sebelum azan tanpa perlu dibataskan masa-masa tertentu, itupun terdapat rukhsah dan keringanan sekiranya terdengar azan selesaikanlah makan dan minum barulah berhenti dan teruskan berpuasa. YAHUDI DAN SYIAH MELEWATKAN BERBUKA Ketika berbuka pula, disunnahkan kita berbuka puasa dengan segera dan jangan melewatkannya seperti hadis Nabi yang berbunyi : “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Hal ini kerana Islam adalah agama fitrah dan berbuka awal menepati fitrah insan disamping anjuran Nabi kepada umatnya untuk berbeza dengan orang Yahudi yang berpuasa akan melewatkan berbuka seperti perkataan Nabi dalam hadis yang lain : “Agama ini akan sentiasa menang selama manusia menyegerakan berbuka, kerana orang-orang Yahudi dan Nasrani mengakhirkannya”. (Hadits Riwayat Abu Dawud 2/305, Ibnu Hibban 223, dengan sanad yang Hasan) Tetapi ada juga di sana segolongan manusia merasa warak kepada Allah dengan melewatkan berbuka puasa dan merasa hina jika berbuka awal seperti golongan Syiah yang sesat. Mereka suka melewatkan berbuka puasa menanti sehingga nampak bintang-bintang di langit padahal telah sahih daripada Nabi agar jangan berbuka sehingga kelihatan bintang di langit. Kata Nabi saw yang bermaksud: “Umatku akan senantiasa dalam sunnahku selama mereka tidak menunggu bintang ketika berbuka puasa”. (Hadits Riwayat Ibnu Hibban 891 dengan sanad Sahih). Jadi yang terbaik adalah mengikut petunjuk dan sunnah Nabi saw dalam kita berpuasa, kerana merasa cukup dengan sunnah itu adalah sebuah hidayah manakala mencari-cari kepuasan ibadat puasa selain sunnah merupakan was-was dari syaitan. Penulis adalah Lulusan Syariah Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM), Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia (iLMU)
↧